Sunday, 11 November 2018

1.4. KEPENTINGAN LATIHAN INDUSTRI KEPADA PELAJAR



Setiap pelajar yang mengikuti Pengajian di Politeknik Kementerian PengajianTinggi Malaysia, telah diwajibkan untuk menjalani latihan industri selama satu semester. Bagi pelajar yang mengambil Diploma, akan menjalani latihan industri pada semester ke enam, Latihan industri diwajibkan kepada setiap pelajar sebelum melayakkan mereka untuk di anugerahkan Diploma. Kepentingan latihan industri kepada pelajar ialah :

i. Menjadi syarat kelengkapan pengajian.

Salah satu syarat melengkapkan penganugerahan diploma adalah latihan industri. Sekiranya pelajar dapat menjalani dan membuat latihan serta laporan latihan industri dengan baik dan cemerlang maka pelajar telah melengkapkan syarat penganugerahan diploma. Jika sebaliknya, maka pelajar dianggap gagal dan perlu mengulang semula bagi syarat meneruskan semester yang berikutnya. 

ii. Menimba pengalaman.

Latihan industri banyak memberi pengalaman kepada pelajar tidak kira di bahagian apa sekalipun pasti memperolehi ilmu yang boleh membantu pelajar dalam menghadapi situasi di dalam dunia bekerja. Dimana pengalaman di alam pekerjaan adalah amat berbeza dengan situasi di dunia pembelajaran kerana situasi pembelajaran hanya tertumpu kepada bahan bacaan seperti buku, pensyarah dan rakan seperjuangan tanpa melibatkan persekitaran luaran berbanding alam pekerjaan yang lebih mencabar.
Di antaranya adalah hubungan dengan pelanggan, orang-orang kenamaan, kakitangan dan melibatkan tugas-tugas yang mencabar dan perlu disiapkan secepat mungkin apabila diperlukan segera. Adakalanya, maklumat-maklumat sulit perlu dirahsiakan supaya tidak berada di tangan pesaing. Ianya jauh lebih berbeza dengan dunia pembelajaran kerana segala maklumat hanya berkaitan dengan pelajaran dan tidak perlu menjadi rahsia untuk disimpan.

iii. Penilaian kebolehan diri. 

Ketika menjalani latihan industri ini, secara langsung pelajar dapat menilai sendiri kebolehan diri dalam menguruskan tugas di tempat latihan industri sama ada yakin dan mempunyai inisiatif sendiri dalam menguruskannya atau memerlukan bantuan orang lain. Sesetengah pelajar akan menilai potensi dirinya apabila berhadapan dengan permasalahan atau cabaran-cabaran yang akan menguji dan memotivasikan dirinya.
Sifat ini perlu wujud untuk memudahkan pelajar dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan supaya dapat merealisasikan suatu hasil kerja yang berkualiti serta mampu bersaing dengan kakitangan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam sesuatu bidang yang diceburi. 

iv. Menguasai dan mempraktikkan ilmu. 

Segala ilmu yang dipelajari dan diperolehi semasa berada di politeknik dapat dipraktikkan oleh pelajar apabila menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan modul yang di ambil. Oleh yang demikian, apabila situasi tersebut
berlaku, ini akan memudahkan dan melancarkan proses melaksanakan tugasan yang diberikan kepada pelajar kerana segala ilmu pengetahuan yang dipelajari dapat dimanfaatkan. 

Para pelajar juga dapat meningkatkan taraf penguasaan ilmu, dapat di amalkan dan digunakan sebaik mungkin untuk merealisasikan satu hasil kerja yang bermutu tinggi serta membuktikan bahawa pelajar juga mampu bersaing hebat dengan kakitangan yang berpengalaman luas.

No comments:

Post a Comment